KOTA BHARU - Seorang penjual ayam dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas mengaku bersalah merogol seorang wanita terencat akal tiga tahun lalu.
Hakim Zainal L. Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Al Waled Abd Kadir, 44, dari Kampung Pangkal Berangan, Kelaweh, Machang dan memerintahkan hukuman terbabit berkuat kuasa mulai semalam.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh masuk ke rumah mangsa yang berusia 33 tahun itu di Kampung Terasil, Gual Ipoh, Tanah Merah sebelum merogolnya sekitar jam 3 hingga 4 petang pada 12 November 2008 lalu.
Seminggu selepas kejadian, mangsa kemudiannya menceritakan kejadian itu kepada jirannya dan jiran terbabit memaklumkan kepada seorang ahli keluarga sebelum membuat laporan polis.
Kemudian mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk pemeriksaan dan mangsa disahkan dirogol.
Mangsa juga dirujuk kepada ahli psikologi dan dia turut disahkan mengalami terencat akal manakala tertuduh berjaya ditahan pada 21 November.
Tertuduh kemudian didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Dalam prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin.
Sebelum keputusan dibacakan, tertuduh dalam nada sedih membuat rayuan dan menyesal dengan perkara yang dilakukan tersebut, malah dia juga memaklumkan sudah meminta maaf daripada mangsa.
Tertuduh turut meminta mahkamah dapat memberikan hukuman paling ringan terhadapnya kerana mengaku salah terhadap perbuatannya itu.
Bagaimanapun, Intan Nor Hilwani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berdasarkan hukuman yang diperuntukkan undang-undang terhadap perbuatan tersebut kerana dianggap perkara serius.
Zainal kemudian membaca keputusannya itu turut mengambil kira rayuan oleh tertuduh.
Dalam hujahnya, beliau menyatakan hukuman berkenaan adalah untuk memastikan ia dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan semua supaya tidak melakukan perbuatan tidak bermaruah itu.
”Saya harap tempoh hukuman ini akan dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan sepatutnya perkara ini tidak dilakukan kerana awak sudah mempunyai keluarga,” katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan