Rabu, 26 Januari 2011

Putus jari kelengkeng dibelasah 4 lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki putus jari kelengkeng kanan dan cedera pada badan serta kepala selepas ditetak dengan parang oleh empat lelaki tidak dikenali di hadapan sebuah kelab malam di Jalan Ipoh, di sini, awal pagi kelmarin.

Difahamkan, kejadian dilakukan semua lelaki terbabit yang berusia 30-an dipercayai bagi membalas dendam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa yang sedang melepak di tempat kejadian tiba-tiba didatangi empat lelaki itu.

Sumber berkata, sebaik menghampiri mangsa, seorang daripada suspek terus melepaskan tumbukan ke arah mangsa sebelum tiga lagi rakannya mengeluarkan parang dan menetak mangsa.

“Ketika itu, mangsa hanya mampu merayu tidak dicederakan sambil menutup kepalanya dengan kedua-dua belah tangannya. Bagaimanapun, lelaki itu tidak memperdulikan rayuan itu sebaliknya terus memukul dan menetak mangsa sebelum meninggalkannya dalam keadaan berlumuran darah.

“Semua suspek dipercayai menunggang dua motosikal yang diletakkan berhampiran kawasan berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, jeritan mangsa didengari beberapa orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum mereka menghubungi polis.

“Sekumpulan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan sebuah ambulans,” katanya./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan