KULIM: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dilarikan sekumpulan lelaki ketika sedang bekerja di sebuah restoran di Taman Selasih kira-kira jam 7.30 malam kelmarin.
Mangsa yang bersekolah di sekolah menengah berhampiran dilaporkan baru bekerja secara sambilan di restoran berkenaan sejak dua bulan lalu bersama ibunya.
Pemilik restoran yang tidak mahu dikenali berkata, mangsa akan datang ke restoran untuk bekerja selepas waktu sekolah. Ketika dilarikan, mangsa memakai baju T berwarna merah jambu dan berseluar panjang berwarna hitam.
“Ketika kejadian berlaku, kira-kira jam 8 malam, dia sedang bekerja dan enam lelaki masuk ke dalam restoran lalu menarik mangsa keluar. Seorang daripada mereka memakai topi keledar.
“Mangsa kemudiannya dibawa lari dalam van jenis Ford Econovan berwarna putih. Orang ramai yang berada dalam restoran ketika itu terpinga-pinga kerana kejadian berlaku terlalu cepat,” katanya.
Menurutnya, ibu mangsa yang sedang membasuh pinggan tidak sempat membantu anaknya dan kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Kulim kira-kira jam 8.30 malam.
Sinar Harian kemudiannya pergi ke rumah mangsa untuk mendapatkan maklumat tetapi ibunya tiada di rumah ketika itu.
Kakak mangsa yang ditemui berkata, dia hanya mengetahui kejadian menimpa adiknya apabila dimaklumkan oleh ibu yang balik kerja lebih awal pada hari kejadian.
Menurutnya, mangsa tidak mempunyai musuh dan ibunya mengenali seorang daripada enam lelaki yang melarikan adiknya itu.
Walau bagaimanapun mangsa balik semula ke rumah dengan menaiki teksi kira-kira jam 2.30 pagi, tujuh jam selepas dilarikan enam penjenayah terlibat.
Remaja 15 tahun yang dilarikan enam lelaki malam kelmarin masih kelihatan trauma dengan kejadian menimpanya.
Ketika Sinar Harian menemui mangsa di rumahnya, dia mendakwa dipukul enam lelaki bersenjatakan besi dan kayu dalam sebuah ladang kelapa sawit.
Menurutnya, selepas diseret masuk ke dalam van, dua lelaki menutup matanya menggunakan kain dan hanya sedar van itu berhenti di dalam sebuah ladang kelapa sawit setelah hampir tiga jam berada dalam kenderaan itu.
:“Apabila van berhenti, saya dapati diri saya berada dalam ladang kelapa sawit dan keadaannya sangat gelap. Saya kemudiannya dipukul oleh beberapa lelaki menggunakan senjata besi dan kayu hampir dua jam. Saya juga dapat melihat ada di antara mereka bersenjatakan parang dan pisau.
“Saya terus dibelasah sehinggalah seorang lelaki datang bersama seorang rakannya dan bertanya kepada rakannya itu, apakah saya orang yang mencederakannya dan dia menjawab tidak. Lelaki itu kemudiannya memaklumkan kepada rakan yang lain bahawa saya bukanlah orang yang dicari,” katanya.
Mangsa berkata, mereka kemudian menutup matanya semula dan dia dibawa ke satu tempat sebelum seorang daripada penjenayah terbabit memberinya RM100 untuk balik ke rumah.
Mangsa kemudiannya ditinggalkan bersendirian dan apabila membuka kain penutup mata dia mendapati dirinya berada di Hentian Bas Sungai Petani. Dia kemudiannya menahan teksi dan pulang ke rumah.
Kira-kira jam 2.45 pagi, ibu dan mangsa sekali lagi pergi ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan kepulangan mangsa.
:Ibu mangsa turut mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Prihatin Kemanusiaan Masyarakat Kulim (PPKM) dan polis yang bekerjasama mencari anaknya yang diculik.
Pengerusi PPKM, Khor Eng Kim ketika melawat mangsa di rumahnya menasihatkannya supaya jangan terlibat dalam mana-mana kumpulan kongsi gelap atau berpelesiran.
“Selepas mangsa dilarikan saya memaklumkan kepada semua ahli PPKM termasuk di Sungai Petani untuk mengawasi atau memantau kenderaan suspek. PPKM lega apabila dimaklumkan pada awal pagi ini mangsa sudah balik ke rumah,” katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan