Selasa, 18 Januari 2011

Dibelasah polis palsu

 BANDARAYA MELAKA: Seorang remaja yang trauma selepas dia dan rakannya dibelasah teruk oleh empat lelaki yang menyamar sebagai anggota polis di Kelana Jaya, Selangor, awal bulan lalu, meminta siasatan kesnya dicepatkan dan penjenayah ditahan segera untuk menyelamatkan orang lain menjadi mangsa.

Hamzah Fansuri Zamzuri, 19, penuntut Seni Akulinari di sebuah kolej swasta di Kelana Jaya, berkata, sebelum itu empat kes serupa berlaku di sekitar kawasan berkenaan dan dalam satu kes, seorang pelajar mati.

Hamzah Fansuri sendiri cedera teruk dengan dua jarinya patah dan kepalanya berdarah akibat dihentak besi paip dalam kejadian yang berlaku antara jam 11 malam dan 12.30 tengah malam, pada 9 dan 10 Disember lalu.

“Seminggu selepas kejadian, rakan saya yang berada di Kuala Lumpur pergi ke Balai Polis Kelana Jaya untuk mengetahui perkembangan kes berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, rakannya mendakwa tidak mendapat jawapan yang jelas kerana pegawai yang dijumpai di situ sibuk.

Hamzah Fansuri berkata, laporan polis dibuat di Pondok Polis Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mendapat rawatan awal di Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC) dan kemudian pulang ke rumah keluarga di Kuala Ina, Alor Gajah, untuk berehat.
 
Mengimbau kembali kejadian itu, Hamzah Fansuri berkata, ketika berjalan bersama rakannya dari kedai makan untuk pulang ke rumah sewa, sebuah kereta Kancil yang dinaiki empat lelaki dan seorang perempuan menghalang perjalanan mereka.

Menurutnya, seorang daripada mereka yang mengaku anggota polis meminta kad pengenalan mereka berdua sebelum seorang lelaki memukul rakannya kerana menimbulkan kemarahan mereka.

“Rakan saya bertanya siapa mereka dan minta tunjukkan pengenalan sebagai bukti jika benar mereka polis.

“Namun pertanyaan ini menimbulkan kemarahan seorang daripada mereka yang terus keluar daripada kereta dan bertindak memukul rakan saya serta menarik kami masuk ke dalam kereta untuk di bawa ke balai polis,” katanya.

Hamzah Fansuri berkata, mereka berdua ditarik masuk ke dalam kereta berkenaan dan rakannya terperosok di bawah tempat duduk, sementara dia di bahagian tengah tempat duduk belakang.

“Saya sedar mereka bukan polis, apabila kami melalui plaza tol Kelana Jaya dan berhenti di sebuah stesen minyak, satu kilometer dari tol berkenaan. Mereka isi petrol dan membeli rokok, minuman serta makanan ringan. Pembayaran dibuat menggunakan kad Maybank saya.

“Selepas itu, kami dibawa ke sebuah apartmen dan ketika itu pemandu keluar dengan membawa bersama komputer riba rakan saya sebelum kembali dengan tangan kosong,” katanya.

Menurutnya, mereka ditinggalkan di sebuah kawasan yang agak gelap berhampiran perumahan, kira-kira jam 12.15 tengah malam, selepas dibelasah kumpulan terbabit di dalam kereta dan di bahu jalan.

“Kami menahan sebuah kereta yang dinaiki sepasang suami isteri dan membawa kami ke KJMC selepas melihat saya berlumuran darah,” katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan