Selasa, 26 Februari 2013

Wanita Indonesia dakwa dirogol polis lakukan hubungan seks dengan teman lelaki

BUTTERWORTH - Seorang wanita warga Indonesia memberitahu Mahkamah Sesyen di sini dia melakukan hubungan seks bersama teman lelakinya sebelum membuat laporan polis mendakwa dia dirogol tiga anggota polis pada 9 November tahun lepas.

Mangsa, 26, membuat pengakuan itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim pada perbicaraan hari pertama kes rogol membabitkan tiga tertuduh iaitu Koperal Nik Sin Mat Lazim, 33, Konstabel Remy Anak Dana, 25, dan Konstabel Syahiran Romli, 21.

Mangsa juga mengaku melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya yang berusia 52 tahun beberapa kali sepanjang lapan bulan tinggal bersama.

Semasa prosiding itu pihak pendakwaan turut menunjukkan empat daripada 19 barang kes kepada mangsa untuk dikenal pasti iaitu dua helai blaus panjang berwarna hitam dan putih, sehelai seluar dalam berwarna biru dan sehelai baju dalam berwarna merah jambu yang diakui mangsa adalah miliknya.

Mangsa merupakan saksi pertama pendakwaan turut memberitahu mahkamah kronologi kes bermula daripada penahanannya oleh dua anggota polis sehingga proses kawad cam dilakukan untuk mengenal pasti suspek.

Bagaimanapun keterangan yang dibuat mangsa mengenai kejadian rogol itu dilakukan secara tertutup di hadapan hakim dan wakil Kedutaan Indonesia.

Mangsa memberitahu mahkamah di sini bahawa teman lelakinya ada menawarkan wang tunai RM100 kepada dua orang anggota polis bagi membolehkan wanita berkenaan dilepaskan atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Mangsa, 26, yang merupakan saksi utama perbicaraan kes rogol yang dihadapi tiga anggota polis iaitu iaitu Koperal Nik Sin Mat Lazim, 33, Konstabel Remy Anak Dana, 25, dan Konstabel Syahiran Romli, 21, berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam R.S.N Rayer.

Mangsa juga mengakui bahawa teman lelakinya yang berusia 52 tahun turut digari kerana membuat tawaran wang tunai itu kerana ia bertentangan dengan etika kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya teman lelakinya dibebaskan setelah mangsa bersetuju untuk dibawa ke balai sementara menunggu teman lelakinya menunjukkan dokumen perjalanan yang sah kepada pihak polis.

Selain itu mahkamah juga diberitahu bahawa terdapat dua Asid Deoksiribonukleik (DNA) milik dua lelaki yang tidak dikenali pada seluar dalam mangsa, bagaimanapun mangsa tidak mengetahui berkenaan DNA itu.

Bagaimanapun, perbicaraan hari kedua hari ini terpaksa ditangguhkan kerana mangsa kurang sihat dan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menetapkan 29 April depan untuk menyambung pemeriksaan balas.

Ketiga-tiga tertuduh Nik Sin, Remy dan Syahiran dituduh merogol wanita itu di Bilik 4, Berek Balai Polis Perai di sini antara 6.40 pagi hingga 7.30 pagi pada 9 Nov 2012.

Bagi pertuduhan rogol, mereka didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga mereka juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita itu pada tarikh, waktu dan tempat yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 376(1) kanun sama memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim.

Nik Sin dan Remy diwakili peguam Abdul Roni Rahman manakala Syahiran diwakili peguam Rayer./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan