KOTA BHARU: Tindakan berani seorang anak bergelut dengan penyamun bersenjatakan parang dan bertopeng dapat menyelamatkan ibunya daripada menjadi mangsa curi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi semalam, seorang peniaga ikan cedera di tangan ketika bergelut dengan seorang daripada dua penyamun yang bersenjata ketika menceroboh masuk bilik ibunya, Hasmah Ali, 54,
Mangsa Saupi Jusoh, 28, yang bergelut di dalam bilik di rumahnya di Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa itu luka di ibu jari dan telunjuk terpaksa menerima 14 jahitan, selepas menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.
Saupi berkata, ketika kejadian dia tidur di ruang tamu dan sebaik sahaja terdengar jeritan ibunya, dia bergegas masuk ke bilik sebelum bergelut dengan seorang lelaki bertopeng.
“Dalam keadaan samar-samar itu saya terus menerkam salah seorang lelaki kerana saya tidak ternampak dia memegang senjata dan bergelut dengannya lelaki tersebut demi menyelamatkan ibu saya.
“Ketika kami bergelut salah seorang daripada lelaki terbabit sempat melarikan diri dan dalam masa sama saya cedera serta dia juga luka kerana selepas kejadian ini saya melihat terdapat kesan darah di lantai rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Sementara itu, Hasmah berkata, ketika kejadian dia hanya mampu menjerit meminta pertolongan dan meronta-ronta tetapi tidak dapat bertindak agresif kerana mulutnya ditutup oleh salah seorang lelaki terbabit.
Hasmah juga bernasib baik kerana tindakan cepat anaknya itu menyebabkan pencuri tersebut berputih mata tidak dapat mengambil barangan termasuk barang kemas yang dipakainya bernilai kira-kira RM50,000
Katanya, akibat ketakutan kedua-dua lelaki terbabit meninggalkan sebilah pedang, sepucuk pistol mainan, esi pengumpil dan barangan yang ditemui itu diserahkan kepada polis.
“Saya mempercayai lelaki tersebut menceroboh masuk menerusi tingkap berdasarkan kesan umpil dan membuka pintu dapur untuk memudahkan mereka melarikan diri,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superitendan Idris Abd. Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, sebaik menerima laporan, polis melancarkan gerakan memburu suspek untuk membantu siasatan.
”Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah pada malam hari dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun,” katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan