PUTRAJAYA: Seorang gadis yang mendakwa anak kepada pengarah sebuah agensi kerajaan beribu pejabat di Pusat Pentadbiran Persekutuan di sini, ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam operasi bersepadu cegah maksiat, awal pagi kelmarin.
Wanita berusia 19 tahun itu yang juga kerani ditahan selepas bersekedudukan dengan teman lelakinya berusia 26 tahun di sebuah hotel murah di Dengkil, dekat sini. Jurucakap Jais berkata, ketika serbuan anggota penguat kuasa memberi salam sebelum mengetuk pintu bilik beberapa kali dan menunggu kira-kira setengah jam, sebelum dibuka seorang lelaki berpakaian lengkap.
Menurutnya, anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan sebelum mendapati wanita berpakaian lengkap bersembunyi di sebalik pintu tandas bilik hotel berkenaan.
“Ketika disoal siasat pasangan terbabit mengaku mereka bukan suami isteri atau mahram. Wanita terbabit meminta dilepaskan kerana mendakwa dia anak seorang pengarah jabatan kerajaan di Putrajaya.
“Teman lelakinya pula merayu supaya dilepaskan dengan alasan mereka sudah bertunang dan akan berkahwin tidak lama lagi. Namun, alasan itu dinafikan pasangannya, malah mereka hanya kawan biasa dan tidak pernah bertunang,” katanya.
Menurut jurucakap itu, ketika disoal siasat remaja perempuan terbabit dengan keadaan muka yang pucat lesi memberi alasan dia dan teman lelakinya berehat seketika di bilik hotel berkenaan selepas beraya dan akan pulang ke rumah masing-masing./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan