KULIM: Akibat menghidu gam keterlaluan, seorang lelaki berusia 20-an bertindak agresif dengan memanjat pagar rumah jirannya di Taman Selasih dengan hanya memakai seluar dalam kira-kira jam 6.30 petang, semalam.
Perbuatannya itu dilihat mangsa dan menjerit kerana ketakutan.
Suspek kemudiannya melarikan diri masuk ke rumahnya yang terletak di hadapan rumah mangsa.
Apabila mangsa melihat gelagat suspek, lelaki itu kemudiannya menanggalkan seluarnya. Mangsa yang ketakutan kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada polis.
Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, beliau sudah mengarahkan ahli PPKM yang berada di tempat kejadian ke rumah mangsa sebaik sahaja dimaklumkan.
“Ini adalah kes pertama berlaku di Taman Selasih, di mana seorang lelaki penghidu gam berkelakuan agresif sehingga membuka seluar di hadapan jirannya.
“Suspek ditahan PPKM kira-kira jam 9 malam dan akan diserahkan kepada polis,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini masih ramai dalam kalangan penduduk tidak mengetahui fungsi PPKM dan beranggapan tindakan yang dilakukan adalah keputusan sendiri.
Katanya, setiap kejadian jenayah berlaku, PPKM akan memaklumkan kepada polis dan atas arahan mereka, maka PPKM akan memberikan bantuan.
Kenyataan ahli PPKM bersikap kasar pada penjenayah juga adalah tidak benar.
“PPKM tidak pernah bersikap kasar terhadap mana-mana penjenayah walaupun mereka memang bersalah. Kami tidak dibekalkan dengan sebarang senjata ketika bertugas melainkan alat perhubungan.
“Saya hairan ada kumpulan yang tidak menyenangi kewujudan PPKM, tetapi mereka tidak mengambil inisiatif melakukan kebajikan sepertimana dilakukan PPKM. PPKM merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dan aktif dalam membasmi perlakuan jenayah di Kulim,” katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan