Jumaat, 2 September 2011

Empat larikan barang kemas RM200,000


KLANG – Empat lelaki bersenjatakan kapak, parang dan tukul hanya mengambil masa kira-kira tiga minit untuk melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM200,000 dari sebuah kedai emas di Jalan Stesen di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusop berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu, empat suspek yang memakai topi keledar meluru masuk ke dalam kedai emas itu, manakala empat lagi yang turut memakai topi keledar menunggu dengan empat buah motosikal di luar kedai emas berkenaan.
Empat perompak yang memasuki kedai emas itu terus bertindak memecahkan cermin pameran yang menempatkan barang kemas sebelum melarikannya, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
"Tiada kecederaan dilaporkan dan semasa kejadian tiada pelanggan berada di kedai berkenaan sementara terdapat tujuh pekerja yang sedang bertugas,” katanya.
Beliau berkata, ini merupakan kali pertama kedai emas yang dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) itu dirompak dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan kesemua suspek. – Bernama/kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan