SUNGAI PETANI: Orang awam yang menggunakan jalan berdekatan bangunan usang lapan tingkat di belakang sebuah pusat beli-belah di sini terkejut dengan penemuan mayat seorang lelaki warga asing dalam keadaan tertiarap dalam lubang lif di bangunan itu pada Isnin.
Berdasarkan slip pendaftaran Pendatang Asing Tanpa Izin Jabatan Imigresen Malaysia yang ditemui, mangsa yang dikenali sebagai Truong Cong Yhanh, 26, dan berasal dari Vietnam sedang bekerja di negeri ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali ketika dihubungi berkata polis menerima aduan orang ramai berhubung penemuan mayat itu pada pukul 9 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.
Beliau berkata mangsa berkemungkinan tergelincir ketika berada dalam bangunan usang terbabit, bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengumpul maklumat berhubung kes itu.
Seorang saksi yang enggan dikenali berkata mangsa mungkin berada dalam bangunan itu untuk mengambil sarang burung yang banyak terdapat di tingkat atas bangunan terbabit.
Katanya bangunan yang berhadapan tapak pembinaan projek landasan kereta api berkembar yang sedang dijalankan itu juga telah lama ditinggalkan dan tidak berpenghuni./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan