Khamis, 15 September 2011

Dipanggil keluar sebelum ditetak

CHUKAI: Suasana di sebuah kedai makan di Bukit Kuang, di sini, gempar seketika apabila seorang lelaki masuk semula ke dalam kedai berkenaan dengan keadaan berlumuran darah selepas belakangnya ditetak menggunakan senjata tajam dipercayai parang, semalam.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, mangsa seorang ahli perniagaan berusia 40-an menikmati hidangan tengah hari di kedai berkenaan sebelum keluar untuk menemui seseorang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata mangsa yang makan di kedai berkenaan dipercayai dihampiri seorang suspek bertanyakan namanya.

Katanya, sebaik saja mengaku dirinya orang dicari, mangsa dimaklumkan ada individu mahu menemuinya di belakang kedai itu sebelum mangsa bergegas keluar.

“Mangsa keluar mengikut suspek ke bahagian belakang kedai berkenaan sejauh lima meter sebelum dia berlari masuk semula ke dalam kedai itu dengan berlumuran darah.

“Difahamkan, mangsa parah di bahagian belakang dengan luka sepanjang 15 sentimeter. Malah, suspek yang dipercayai menetak mangsa turut memegang sebilah parang yang berlumuran darah sebelum menaiki Proton Waja dan meninggalkan tempat kejadian,” katanya.

Susulan itu, sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian sebaik saja bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman menerima panggilan daripada orang awam sebelum menghubungi pemilik kedai makan terbabit bagi mendapatkan gambaran awal mengenai kejadian berkenaan.

Menurut Abdullah Sani, mangsa dikejarkan ke Hospital Daerah Kemaman untuk rawatan lanjut.

Katanya, keterangan mangsa yang memiliki kedai kenderaan berat dan berasal dari Bukit Kuang, di sini, belum diperoleh memandangkan mangsa masih tidak sedarkan diri selepas pembedahan itu.

“Ketika ini, kami masih tidak dapat menentukan motif serangan berkenaan berikutan keadaan mangsa yang tidak sedarkan diri,” katanya./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan