SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang kelindan lori selepas didapati bersalah membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia 18 bulan di sebuah taman permainan, tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu terhadap M Rajamorgan, 33, selepas berpuashati pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong berjaya membuktikan kes di akhir pembelaan.
“Selepas meneliti keterangan saksi dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan,” katanya.
Bagaimanapun, hukuman gantung itu gagal meredakan kemarahan bapa dan ibu mangsa yang turut hadir semalam apabila mereka cuba menyerang Rajamorgan sejurus dia dibawa keluar dari mahkamah.
S Karigalan, 42, dan isterinya, K Thilagavathy, 23, dilihat cuba menyerbu ke arah M Rajamorgan.
Bagaimanapun, usaha pasangan suami isteri itu dihalang polis dan ahli keluarga tertuduh sebelum Rajamorgan dibawa pergi.
“Tuhan akan menghukum kamu!,” jerit Karigalan sambil menudingkan jari ke arah Rajamorgan.
Mengikut pertuduhan, Rajamorgan didakwa membunuh K Haresvarra di taman permainan kanak-kanak Pangsapuri Vista Damansara, Jalan Kenanga, Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, dekat sini, antara jam 9.40 dan 10.10 malam pada 3 Mac lalu.
Dia menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan membawa hukuman mati mandatori.
Kali pertama tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, dekat sini, adalah pada 15 Mac lalu. Difahamkan, Haresvarra anak sulung pasangan Karigalan dan Thilagavathy. Kes kanak-kanak malang itu mendapat liputan meluas berikutan berlaku kurang tempoh seminggu selepas Syafiah Humaira Sahari, 4, di Batang Kali, dekat sini, mati akibat didera. Sementara itu, Karigalan yang ditemui media memberitahu keputusan mahkamah itu sememangnya sudah dijangka.
Bagaimanapun dia masih terkilan dengan kematian anak lelaki kesayangannya itu. “Saya sudah belikan dia rumah untuk dia tinggal bila besar nanti, namun semuanya seperti sudah tidak bermakna lagi,” katanya.
Berdasarkan keterangan doktor patologi, Dr Karunakaran Mathiharan, mangsa didapati mati akibat kecederaan pada hatinya yang boleh disebabkan oleh pukulan objek tumpul selain mendapati terdapat kesan kecederaan yang masih baru di badannya./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan