PORT DICKSON: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mendakwa sudah dua kali mengganti penutup longkang di Pantai Batu 10, namun sering dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
Lebih malang, akibat kecurian itu, orang awam ditimpa kecelakaan akibat perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab mencuri penutup longkang berkenaan.
Yang Dipertuanya, Abdul Wahab Shamsudin berkata, sebelum ini penutup longkang daripada besi itu sudah dua kali dicuri dan pihaknya akan menggantikannya dengan konkrit.
“Bagi mengelakkan harta awam dicuri lagi, pihak kami akan menggantikannya dengan penutup konkrit dan akan menyelesaikannya dalam masa terdekat.
“Kami masih menunggu laporan lengkap bagi memastikan bilangan penutup longkang yang perlu diganti selain melihat peruntukan yang diperlukan kerana sekiranya ia melebihi RM20,000, pelbagai prosedur membabitkan kewangan perlu dilakukan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau turut bersimpati dengan tragedi menimpa kanak-kanak terbabit dan pada masa sama menasihatkan orang ramai, terutama pengunjung untuk menunaikan solat di masjid atau surau. Katanya, masalah itu tidak boleh sewenang-wenangnya dituding kepada pihaknya saja kerana masyarakat setempat perlu peka dengan permasalahan vandalisme yang giat berlaku.
Semalam, akhbar ini melaporkan niat sebuah keluarga menunaikan solat Maghrib di siar kaki di Pantai Batu 10 pada Aidilfitri lalu bertukar tragedi apabila anak sulung mereka ditemui lemas.
Mangsa, Nur Zahira Mohammad Arif Yap, 2, ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam hampir dua meter dan dijumpai di pesisiran pantai berkenaan yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan