KULIM: Seorang warga emas dari Kampung Padang Tembak di sini dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak empat hari lalu, setelah keluar bekerja di Prai, Butterworth.
Isterinya Aminah Baharin, 62, berkata suaminya Husin Abdullah, 67, keluar dari rumah mereka kira-kira 6.30 pagi Khamis lalu dengan menunggang motosikal Modenas Kriss 110cc berwarna biru dengan nombor plat PDW 4544.
"Setiap hari dia akan pulang ke rumah dan sampai pukul 2 petang. Tapi hari Khamis, hingga pukul 5.30 petang, dia belum sampai rumah," katanya kepada Bernama.
Aminah berkata pada petang Khamis, laporan polis tentang kehilangan suaminya telah dibuat dan pada keesokan hari, anak-anak mereka telah pergi ke tempat kerja bapa mereka, tetapi diberitahu bapa mereka tidak datang bekerja pada hari Khamis itu.
Beliau juga berkata sejak akhir-akhir ini, suaminya didapati mengalami masalah hilang ingatan dan sering berada dalam keadaan murung dan tidak banyak bercakap.
Husin dikatakan pernah mengalami kemalangan motosikal yang agak teruk tiga tahun lalu."Selepas sembuh suami mak cik berubah daripada periang menjadi murung dan tak banyak bercakap," kata Aminah yang mendirikan rumah tangga dengan Husin sejak 39 tahun lalu dan mempunyai enam orang anak.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan Padang Tembak, Hashim Md Isa berkata Husin sebelum mengalami kemalangan sering menjadi imam di surau di kampung itu tetapi selepas kemalangan itu beliau sering menolak untuk mengimamkan solat.
Semalam kira-kira 40 penduduk kampung, anggota Jabatan Pertahanan Awam, polis dan Pasukan Cegah Jenayah Kulim telah beramai-ramai mencari Husin dengan menyusuri jalan yang sering digunakan untuk ke tempat kerjanya termasuk ke kawasan bukit di kampung itu.
Seorang anaknya, Hisham, 23, berkata beliau dan kakak serta abang-abang iparnya turut menjejaki bapanya ke kawasan rehat dan rekreasi serta sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan dari Butterworth hingga Taiping selain hospital kerajaan dan swasta di sekitar Kedah dan Pulau Pinang tetapi tidak berhasil.
"Kami berharap orang ramai yang menjumpai atau mengetahui di mana ayah saya berada supaya menghubungi saya di talian 019-5555612 ataupun 04-4952794," katanya./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan