MARAN: Mahkamah Majistret Maran di sini membebaskan dua remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun daripada pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dalam kejadian pada 25 Mei 2009.
Remaja lelaki berusia 16 tahun dari Felda Jengka 15 dan rakannya dari Felda Jengka 14 itu didakwa melakukan kesalahan tersebut lebih kurang jam 3.20 petang bertempat di dalam bilik sebuah rumah di Felda Jengka 15 dekat Bandar Tun Abdul Razak Jengka.
Keputusan dibuat Majistret, Noor Zaihan Mohamad Ali selepas mendapati kedua-dua remaja itu tidak disabitkan dengan kesalahan tetapi didapati bersalah.
Mereka dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik di bawah Seksyen 91 (1) Akta Kanak-kanak 2001 tanpa cagaran selama dua tahun.
Dakwaan dilakukan di bawah seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh di penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan dikenakan sebatan.
Sementara itu, majistret di mahkamah sama turut membebaskan seorang remaja 19 tahun dari pertuduhan melakukan kekerasan jenayah cabul ke atas seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada 2 Mei lalu.
Remaja berasal dari Felda Jengka 1 itu didakwa melakukan kesalahan di Jalan Besar Felda Jengka 1 menghala ke Pekan Sungai Jerik pada jam 12.30 tengah hari dengan niat mencabul kehormatan melalui cara meraba bahagian belakang badan dari tengkuk hingga punggung.
Kesalahan didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan tersebut.
Remaja itu dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik di bawah Seksyen 173 A Kanun Tatacara Jenayah selama dua tahun dengan cagaran berjumlah RM1,500 selepas tidak disabitkan dengan kesalahan tetapi didapati bersalah dan akan menghadapi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), tahun ini./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan