ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang penoreh getah selepas dia didapati bersalah membunuh seorang gadis dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Haris Abdul Talib, 28, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.
Mohd Haris dituduh membunuh Farhanim Ahmad Ibrahim, 17, sebelum mayatnya yang telah reput ditemui pencari madu lebah dalam belukar di kampung Carok Kapas di Kupang, Baling.
Dia melakukan pembunuhan ke atas Farhanim antara 29 Mac 2009 pukul 6 pagi hingga 4 April 2009 pukul 2.40 petang di kawasan belukar terbabit dan dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori.
Mohd Haris merayu terhadap hukuman itu.
Dalam penghakimannya, Zakiah secara peribadi menasihatkan Mohd Haris agar memperbaiki diri supaya menjadi insan yang lebih baik dan beriman sementara menunggu keputusan rayuannya.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Nor Hasnita Wan Daud, manakala tertuduh diwakili peguam KT Jayaraj./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan