Rabu, 28 September 2011

Enggan jadi gengster, remaja ditetak

BERCHAM: Seorang remaja hampir putus jari akibat ditetak sekumpulan samseng yang bertindak menyerangnya selepas berang kerana mangsa menolak pelawaan menjadi gengster bersama kumpulan itu.

Dalam kejadian jam 12 malam berkenaan, K Sasi Kumar, 19, sedang bekerja di kedai barangan lusuh milik bapa saudaranya, C Ramachandran, 43, ketika didatangi anggota samseng terbabit.

“Seperti biasa, saya melakukan kerja harian dan tiba-tiba kumpulan samseng yang menaiki kereta Perodua Viva itu menyerang pakcik saya yang bersiap-siap untuk menutup kedai.

“Pakcik saya ditumbuk di muka kemudian mereka yang bersenjatakan parang terus menyerang saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.

Menurutnya, dia berasa begitu ngeri apabila teringat arahan ‘potong dia! potong dia’ yang disebut oleh seorang anggota samseng wanita ketika itu dan kata-kata tersebut masih masih terngiang-ngiang di telinganya sehingga sekarang.

Sasi Kumar berkata, sebelum ini kumpulan itu pernah mempelawanya untuk menyertai kumpulan mereka beberapa kali tetapi dia menolak kerana sedar kegiatan itu tidak memberi faedah kepada masa depannya.

“Malangnya, saya diperlakukan sebegini kerana ingkar permintaan kumpu-lan terbabit,” katanya yang hampir kehilangan tiga jari kanan akibat ditetak sepasang suami isteri serta rakan mereka, dipercayai anggota kumpulan samseng di Kawasan Perindustrian Pinggir Bercham di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Superintendan Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat motif sebenar kejadian dan menjejaki suspek yang terbabit dalam kes berkenaan./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan