PETALING JAYA: Sekumpulan empat penyamun semuanya bersenjatakan parang melarikan sebuah lori kontena sarat dengan tayar terpakai yang dianggarkan bernilai lebih RM65,000 selepas membelasah dan mengikat seorang pengawal keselamatan kilang tayar di Bandar Bukit Puchong, dekat sini, pada kira-kira jam 10.45 malam kelmarin.
Namun, kurang enam jam selepas kejadian samun terbabit berlaku polis yang mendapat maklumat daripada mangsa serta pengurusan kilang menemui lokasi kontena berkenaan disembunyikan di tanah rizab pencawang elektrik di Pelangi Damansara, di sini.
Intipan polis di lokasi terbabit turut membawa kejayaan penahanan empat suspek yang dipercayai dua daripadanya pembeli, manakala dua lagi suspek perancang utama kejadian samun berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata kira-kira jam 10 pagi semalam, empat lelaki datang ke lokasi kontena berkenaan disembunyikan dengan menaiki dua kereta dan sebaik saja mereka membuka kontena polis menyerbu serta menahan mereka.
“Hasil siasatan awal mendapati seorang daripada suspek yang berusia 44 tahun mempunyai 18 rekod jenayah lampau dan baru dibebaskan dari Penjara Simpang Renggam, Ogos tahun lalu mengikut Akta Ordinan Darurat.
Manakala seorang lagi suspek berusia 36 tahun yang juga pengawal keselamatan mempunyai dua rekod jenayah samun. Dua lagi suspek berusia 35 dan 40 tahun, seorang pemasang sistem kawalan keselamatan dan seorang lagi pemilik restoran,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, polis kini menjalankan siasatan lanjut dan memburu empat lagi suspek yang dipercayai berperanan menyamun dan membawa lari treler berkenaan./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan