Jumaat, 9 September 2011

Nenek lumpuh disamun

KUALA TERENGGANU: Malang buat seorang warga emas. Sudahlah lumpuh, dia turut menjadi mangsa samun oleh lelaki tidak dikenalinya dalam kejadian yang berlaku di rumahnya, di Kampung Titian Hangus, kelmarin.

Nenek berusia 81 tahun itu kehilangan sepasang subang pusaka akibat kejadian itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, mangsa, Manong Salleh yang lumpuh bahagian pinggang ke bawah sedang duduk seorang diri sambil melipat baju, sebelum didatangi seorang lelaki yang pada mulanya disangkakan anak saudaranya.

Menurut mangsa, ketika itu pintu rumahnya yang uzur itu berkunci dari dalam, namun ia dengan mudah dapat dibuka penjenayah terbabit.

“Lelaki yang menutup mukanya dengan tuala menyerbu masuk rumah dan kemudian terus mengilas tangan makcik ke belakang serta menyembamkan muka makcik ke lantai sebelum merentap subang pusaka yang diwarisi daripada arwah emak makcik, sebelum melarikan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Subang itu dianggar bernilai RM800.

Manong berkata, telinganya juga cedera akibat kejadian itu.

Dia kemudian membuat aduan polis dengan bantuan seorang jiran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K Manoharan yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan