KUALA TERENGGANU: Walaupun menyedari bapa tirinya hanya bekerja sebagai nelayan dan tidak memiliki banyak wang, namun seorang gadis masih sanggup mencuri duit milik bapa tirinya semata-mata untuk ‘berjoli’ dengan teman lelaki.
Bagaimanapun, tindakan gadis itu terbalas setelah dijatuhi hukuman tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di Mahkamah Majistret, di sini, semalam
Tertuduh, Fieda Azwa Anual, 19, dari Kampung Duyong Besar, Kuala Terengganu mengaku bersalah mencuri wang tunai sejumlah RM1,900 milik bapa tirinya, Marzuki Rani, 50, pada 24 September lalu kira-kira jam 11 malam di rumahnya di Kampung Duyong Besar, Kuala Terengganu.
Mengikut fakta kes, bapa tirinya hanya menyedari wang tunai RM1,900 yang disimpan di dalam rumah berkenaan hilang pada 21 September lalu kira-kira jam 11 malam, namun pada awalnya tidak mengesyaki apa-apa.
Keesokan harinya iaitu 22 September, kira-kira jam 12.30 tengah hari, bapa tiri bersama ibu tertuduh telah keluar dari rumah dan pulang semula ke rumah kira-kira jam 1.30 petang dan mendapati tiga anaknya iaitu adik tiri tertuduh yang masih kecil ditinggalkan di rumah sepupunya.
Sepupunya memberitahu yang tertuduh telah lari dari rumah dan bapa tirinya mengesyaki tertuduh yang mencuri wangnya sejumlah RM1,900 itu
Pada 24 September lalu, kira-kira jam 8 pagi, bapa tiri tertuduh bersama anggota polis telah membuat serbuan di tingkat tiga Hotel Terengganu, dan mendapati tertuduh ada bersama dengan seorang lelaki tidak dikenali, dipercayai teman lelakinya.
Setelah disiasat, didapati tertuduh telah menyewa hotel berkenaan dari 22 September hingga 23 September lalu dan apabila disoal siasat, dia mengakui telah mencuri wang tunai milik bapa tirinya itu
Dengan itu, Fieda Azwa didapati telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau kemudiannya hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Anak Dustan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan