Isnin, 19 September 2011

Penguat kuasa Majlis Daerah Lahad Datu maut ditikam selepas dibelasah

LAHAD DATU: Gara-gara menegur sekumpulan lelaki melanggar deretan papan tanda dan tembok jalan menggunakan van, seorang pegawai penguat kuasa Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) maut apabila dibelasah sekumpulan 14 lelaki sebelum perutnya dirodok dengan senjata tajam, semalam.

Sebelum kejadian, mangsa Ali Jamal, 47, dikatakan melihat van merempuh deretan papan tanda di pekan terbabit sebelum mengejar dan menahan van itu serta menegur pemandu yang dipercayai mabuk, jam 4.30 pagi.

Teguran itu menyebabkan pemandu van itu berang sebelum semua lelaki di dalam van itu keluar dari kenderaan dan membelasah mangsa sebelum seorang daripada mereka merodok perut mangsa menggunakan senjata tajam.

Kumpulan lelaki terbabit kemudian melarikan diri apabila melihat mangsa terbaring berlumuran darah sebelum mangsa dihantar orang ramai ke hospital mendapatkan rawatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Superintendan Bong Khuet Kuin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan polis sudah menggerakkan operasi bagi memburu semua suspek.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian ini berpunca akibat tindakan mangsa menegur sekumpulan lelaki yang sengaja melanggar tembok dan papan tanda jalan.

“Teguran itu akhirnya membawa kepada pergaduhan lelaki terbabit yang dipercayai tidak berpuas hati sebelum seorang daripada mereka merodok perut mangsa menggunakan senjata tajam,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek kemudian melarikan diri menggunakan van jenis Nissan Vanette dan polis sudah menemui van yang ditinggalkan kumpulan lelaki terbabit di Kampung Unda, lima kilometer dari tempat kejadian.

“Polis kini menjejaki kumpulan lelaki berkenaan yang dipercayai masih bersembunyi di sekitar daerah ini,” katanya.

Bong berkata, mangsa disahkan meninggal dunia jam 6.30 pagi selepas beberapa jam dimasukkan ke hospital dan mayatnya sudah dibedah siasat dan akan diserahkan kepada waris mangsa untuk dikebumikan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman gantung sampai mati./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan