SENTUL: Tiga anggota polis antara enam yang ditahan berhubung kejadian melepaskan tembakan yang mencederakan seorang pelajar kolej swasta dalam pergaduhan di luar sebuah pub di Taman Sri Rampai, di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan penahanan tiga anggota polis terbabit dan berkata, ketiga-tiga anggota berkenaan berpangkat koperal dan lans koperal.
“Dua daripada mereka bertugas di Bukit Aman manakala seorang lagi di Selangor,” katanya. Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, empat lelaki keluar dari sebuah pub sebelum tiba-tiba datang seorang lelaki memecahkan cermin di pintu belakang pemandu menggunakan sebatang besi.
Tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki terbabit, empat lelaki yang berada di dalam kereta berkenaan keluar dan menyerang lelaki itu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, selepas beberapa minit bergaduh, lelaki yang memecahkan cermin kereta itu cuba melarikan diri dan pada ketika itulah kedengaran bunyi tembakan dilepaskan.
“Mangsa, pelajar kolej swasta berusia 23 tahun, cedera di kaki dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.
“Kami masih menyiasat motif serta punca kejadian dan tidak menolak kemungkinan mereka mengenali satu sama lain” katanya.
Menurutnya lagi, polis forensik menemui lima kelongsong peluru di tempat kejadian.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata maut dalam rusuhan./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan