KUALA TERENGGANU: Seorang pelakon diminta pulang ke pangkuan keluarga berikutan ibunya, Hasnah Awang Teh, 54, terlalu bimbangkan keselamatannya sehingga menyebabkan kesihatannya terjejas.
Lenny Marlina Md Yusuf, 31, yang pernah menjayakan watak pelakon pembantu dalam beberapa drama tempatan termasuk Sumpah Bunian dan Nasi Kerabu Mek Bunga tidak dapat dihubungi keluarganya sejak Mac lalu.
Hasnah yang menetap di Kampung Tanjong, di sini, berkata kali terakhir Marlina menghubunginya pada 31 Mac lalu memberitahu dia bekerja di sebuah syarikat produksi dan ia dipaparkan Harian Metro dalam sisipan RAP pada hari berkenaan.
“Marlina tidak lagi menghubungi saya dan keluarga selepas itu malah telefon bimbitnya juga gagal dihubungi dan difahamkan nombor itu sudah tidak digunakan,” katanya yang mengunjungi pejabat The New Straits Times Press (M) Bhd, di sini, semalam.
Menurutnya, dia sudah berusaha menjejaki Marlina melalui kenalan malah membuat solat hajat untuk mengesannya tetapi masih gagal menjejaki anaknya itu.
“Saya bimbangkan keselamatannya terutama apabila membaca laporan mengenai kejadian ngeri termasuk culik dan rogol yang sering dilaporkan media sejak akhir-akhir ini,”katanya./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan