KUALA TERENGGANU: Seorang daripada tiga perompak yang memecah masuk sebuah kedai emas yang ditutup sempena cuti umum di Taman Jertih, Besut, kelmarin, ditahan polis ketika asyik menyamun.
Rentetan tangkapan itu, polis giat memburu tiga lagi rakannya termasuk seorang wanita yang dikesan aktif dalam kes pecah rumah di Lembah Klang dan negeri ini termasuk kejadian terbaru jam 7.50 pagi kelmarin itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian disedari jiran mangsa yang tinggal bersebelahan kedainya di taman berkenaan apabila terdengar bunyi bising dan mencurigakan.
“Dia menelefon mangsa yang berada di rumahnya di Kampung Kubang Depu, Besut untuk memaklumkan kejadian,” katanya.
Menurutnya, mangsa berusia 30 tahun bergegas ke kedainya sebelum melihat seorang lelaki dalam sebuah kereta Perodua Myvi di depan kedai berkenaan dipercayai sedang menunggu rakannya memecah masuk kedai itu.
“Kebetulan ketika itu sebuah kereta peronda polis melakukan rondaan dan menerima maklumat mengenai kejadian selepas alat penggera kedai berkenaan berbunyi. Sebaik melihat mangsa dan polis tiba, suspek yang berada di dalam kenderaan itu melarikan diri dan tindakan pantas polis mengejarnya menahan suspek berusia 28 tahun berasal dari Bentong, Pahang.
“Dua lagi sempat melarikan diri. Polis mendapati perompak melarikan sebuah bekas berisi serbuk emas serta barangan perak,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati suspek meninggalkan barangan digunakan untuk memecahkan bangunan kedai itu dan menyelinap masuk melalui kedai bersebelahan./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan