KUALA TERENGGANU: Tidak berhati perut! Seorang anak sanggup mencuri pelbagai jenis barang kemas bernilai RM10,000 milik bapa tirinya yang disimpan di dalam bilik kediaman mereka di Kampung Durian Burung, di sini, 9 Disember lalu.
Bagaimanapun, Zulhilmi Syazwan Mohamad, 21, menerima pembalasan atas perbuatannya setelah dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh mengaku bersalah mencuri seutas rantai emas kristal, sebentuk cincin tangan emas kristal, sebentuk cincin berlian, tiga bentuk kerongsang emas, dua utas rantai perak, sebentuk loket perak yang keseluruhannya bernilai RM10,000 pada 9 Disember lalu, jam 9 pagi di rumah mereka di Kampung Durian Burung, di sini.
Dengan itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi di hadapan Majistret Nor Azizah Jusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nor Azizah turut memerintahkan agar tertuduh dipenjara selama tiga bulan lagi jika gagal menjelaskan denda ditetapkan.
Berdasarkan fakta kes, kehilangan barang kemas itu hanya disedari bapa tiri tertuduh, Mohd Zam Endut, 55, pada 9 Disember lalu, jam 1 tengah hari setelah mendapati kayu pada cermin tingkap biliknya terdapat kesan dibuka.
Setelah membuat pemeriksaan, bapa tiri tertuduh yang bekerja sebagai peniaga emas itu mendapati beg yang mengandungi barang kemas telah tiada dan yakin ia dicuri, bapa tirinya itu terus membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, pada hari sama.
Susulan laporan polis yang dibuat, dua hari selepas itu iaitu pada 11 Disember lalu, tertuduh telah ditangkap di tepi jalan, hadapan Hotel Terengganu kira-kira jam 1 tengah hari dan selepas disoal siasat, pada jam 2.10 petang, tertuduh telah menunjukkan lokasi barang kemas itu disimpan iaitu di dalam rumah mereka.
Pada masa sama, tertuduh turut mengaku telah memecah masuk bilik kedua orang tuanya itu pada 9 Disember lalu kira-kira jam 9 pagi setelah kedua-dua mereka tiada di rumah./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan