KUALA LUMPUR: Seorang suami sanggup mencekik dan membelasah isterinya di depan mentuanya selain menghalaunya keluar dari rumah mereka di Kepong, di sini hanya kerana cemburu, kelmarin.
Difahamkan, lelaki berusia 48 tahun itu menuduh isterinya, 33, menjalinkan hubungan sulit dengan rakan sekerjanya.
Menurut sumber, suami mangsa turut mengugut akan mengancam nyawa mangsa dan merosakkan keretanya jika masih enggan keluar dari kediaman mereka.
Mangsa yang tidak tahan dibelasah membuat laporan di Balai Polis Kepong dengan ditemani ibunya.
Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, pertelingkahan antara pasangan suami isteri itu berlarutan sejak beberapa minggu lalu namun kemuncaknya kelmarin kira-kira jam 11 malam apabila lelaki terbabit bagaikan dirasuk pulang ke rumah dalam keadaan mengamuk.
“Tidak mempedulikan ibu mentuanya yang turut tinggal bersama, lelaki terbabit terus menghempas barangan dalam rumah dan membuang semua pakaian mangsa sebelum menghamburkan kata-kata kesat,” katanya.
“Mangsa yang terkejut dengan tindakan luar kawalan suaminya cuba bertanya meminta kepastian namun sekali lagi dimaki dan dituduh berlaku curang,” katanya.
Sumber berkata, mangsa menafikan tuduhan itu dan memberitahu ia hanya salah faham malah meminta suaminya bertenang.
“Namun, lelaki terbabit enggan sebelum memberi tempoh dua minit untuk isterinya itu mengemas barang dan segera keluar dari kediaman mereka.
“Malah, jika mangsa enggan dia akan membelasahnya menyebabkan wanita terbabit yang ketakutan hanya menuruti dan terus mengambil pakaian yang berselerak untuk dikemas,” katanya.
Menurutnya, namun dia yang berang selepas isterinya masih berada di dalam walaupun tempoh masa diberikan tamat menyebabkan dia mengamuk sekali lagi dan terus mencekik mangsa dan mengheretnya ke pintu rumah.
“Tidak cukup dengan itu, dia turut membelasah mangsa menyebabkan wanita terbabit yang dalam kesakitan merayu dilepaskan.
“Malah kekecohan yang berlaku disedari ibu mangsa yang berada di dalam bilik dan terus bertindak meleraikan pergaduhan itu,” katanya.
Suami berkenaan kemudian terus menghalau isterinya dan jika enggan akan dibelasah sekali lagi menyebabkan mangsa bersama ibunya nekad keluar dan membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan