KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas mati ditikam lima kali oleh seorang lelaki di Jalan Udang Kertas, Taman Sri Segambut, di sini malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supt. Othman Abu Bakar, berkata dalam kejadian pada 9.15 malam itu, Lim Kai Lian, 62, baru pulang dari kelas menari sebelum ditikam di perkarangan rumahnya.
"Bila mangsa masuk ke perkarangan rumah, beliau terus ditarik dan ditikam sebanyak lima kali oleh suspek yang memakai helmet gelap serta topeng muka,” katanya kepada pemberita hari ini.
Kai Lian, yang ditikam di bahagian belakang badan, mati di tempat kejadian. Tiada sebarang senjata ditemui di kawasan berkenaan.
"Menurut pembantu rumah yang ketika itu berseorangan, mangsa ada memanggilnya namun sejurus keluar dia ternampak mangsa sudah terbaring berlumuran darah,” kata Othman.
Polis menolak kemungkinan rompak sebagai motif kerana beg tangan wanita itu masih ada pada mangsa.
Kai Lian merupakan seorang suri rumah dan mempunyai empat orang anak manakala suaminya adalah seorang kontraktor./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan