SHAH ALAM: Perbuatan seorang remaja dipercayai mempermainkan perasaan ibu bapanya dengan mendakwa diculik terbongkar selepas dia ditahan bersama teman lelakinya di sebuah rumah di Taman Danau Kota, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, ibu kepada remaja berusia 19 tahun itu membuat laporan polis selepas mendengar jeritan kecemasan anaknya dalam telefon.
Mohd Adnan berkata, ibunya menghubungi melalui telefon bimbit selepas anaknya tidak pulang ke rumah dan mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku berikutan terdengar jeritan itu.
Bagaimanapun, berdasarkan siasatan awal, remaja itu disyaki merancang penculikan sendiri dan dia sebenarnya melarikan diri bersama seorang lelaki dipercayai teman lelakinya, berusia 23 tahun yang bekerja sebagai pelayan restoran.
Mohd Adnan berkata, berdasarkan susuk tubuh, gadis itu dipercayai hamil, bagaimanapun polis masih menunggu laporan perubatan terhadapnya.
Dalam pada itu Mohd Adnan berkata, masalah keluarga dipercayai jadi punca remaja tersebut merancang penculikan sendiri itu.
Menurutnya, remaja berkenaan dipercayai mengadakan cerita dia diculik dengan meninggalkan barang-barang miliknya di tepi jalan konon sebagai bukti.
“Mangsa dalam keadaan baik ketika serbuan dan dipercayai hamil. Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini, kita dapati ia bukan kes culik tetapi siasatan tetap diteruskan dengan melihat kesalahan mereka yang terlibat dalam kes ini. Hasil siasatan akan diserahkan kepada Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat,” katanya di Pusat Media Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, semalam.
Mohd Adnan berkata, pelayan restoran dipercayai kekasih remaja itu direman untuk siasatan sementara gadis tersebut diserahkan kepada ahli keluarganya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, orang ramai jangan sesekali mengadakan cerita berunsur jenayah penculikan seperti itu kerana akan memberi tekanan kepada pengadu dan keluarga./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan