AMRAN ALI
AYER KEROH: Kesempitan hidup menyebabkan seorang lelaki di sini terpaksa hidup berkeluarga tanpa ikatan perkahwinan yang sah sehingga melahirkan tiga anak sejak 10 tahun lalu.
Namun, semuanya itu kini menjadi masalah kepada Rosli (bukan nama sebenar), 56, apabila kesemua anaknya berusia 10, 8 dan 7 tahun terpaksa hidup tanpa mempunyai sebarang dokumen sah dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Sementara pasangannya yang berusia 32 tahun, berasal dari Indonesia juga menghadapi masalah apabila pasport negara asalnya sebelum ini sudah tamat tempoh sejak tiga tahun lalu dan kini menjadi pendatang tanpa izin (Pati).
Menurut Rosli yang berstatus saudara baru sejak berusia 25 tahun, dia mula menjalinkan hubungan dengan wanita berkenaan sejak 10 tahun lalu.
“Saya bagaikan dibuang keluarga dan terpaksa hidup dalam serba kekurangan sambil mengharapkan punca pendapatan daripada bahan buangan yang dikutip seperti kotak, tin dan botol.
“Saya bersama pasangan dan anak-anak kini tinggal di rumah yang disewa, namun itu pun sudah beberapa bulan tertunggak bayaran sewanya,” katanya.
Rosli berkata, dia banyak kali berusaha untuk memperbetulkan keadaan kehidupannya yang sudah jauh menyimpang dengan menemui pihak tertentu, bagaimanapun semuanya tidak berhasil.
“Saya pernah pergi ke pejabat Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk mendapatkan status hubungan sah menerusi pernikahan dengan pasangan saya tetapi mereka enggan atas alasan bakal isteri saya merupakan warga asing dan tidak memiliki dokumen sah.
“Dua anak saya yang bersekolah kini terpaksa dilayan seperti warga asing dengan mengenakan bayaran tambahan tertentu dan belajar tanpa bantuan buku teks,” katanya.
Berikutan masalah itu, Rosli mendapatkan bantuan daripada Pusat Perkhidmatan BN (Pembela BN) Negeri Melaka, di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata, buat permulaan pihaknya akan mengusahakan dokumen masuk ke negara ini secara sah untuk pasangan berkenaan menerusi program pemutihan yang diperkenalkan kini.
Katanya, mengikut undang-undang, wanita berkenaan boleh dikenakan denda mengikut hari sejak pasportnya tamat tempoh, namun Pembela BN akan cuba mendapatkan rayuan daripada jabatan terbabit.
“Dengan segala dokumen yang ada kita akan bawa ke pejabat kedutaan negara wanita itu untuk membolehkan dia pulang membuat dokumen secara sah di negara asalnya, sebelum balik semula ke sini.
“Setelah itu, kita akan usahakan untuk mendapatkan status pernikahan secara sah menerusi mahkamah, sekali gus mendapat status warganegara untuk kesemua anaknya yang sebelum ini dilahirkan di negeri ini,” katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan