Sabtu, 10 Disember 2011

Polis tangkap 10 suspek kes bunuh

GEORGETOWN: Polis menangkap 10 lelaki berumur antara 16 hingga 71 tahun yang disyaki terlibat dalam kes bunuh seorang lelaki di simpang Jalan P.Patto-Taman Tanjung, Butterworth Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II Zahruddin Abdullah berkata, tiga daripada suspek itu menyerah diri di Butterworth semalam.

“Kesemua mereka direman sehingga 14 Disember ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Mangsa, M Jegathiswaran, 25, yang memandu sebuah kereta diserang lebih 10 lelaki apabila dia berhenti di simpang itu.

Mangsa kemudian diseret keluar dari tempat duduk pemandu dan dibelasah oleh kumpulan penyerang terbabit hingga menyebabkan kematiannya kira-kira jam 4.30 pagi.

Bagaimanapun, rakannya yang berusia 20-an, yang bersamanya dalam kereta itu, tidak dicederakan.

Mangsa ditemui mati di tempat kejadian dengan kecederaan parah di kepala dan badan.

Beberapa topi keledar dan kayu ditemui di tempat kejadian.

Zahruddin berkata, polis masih menyiasat dan percaya dapat menyelesaikan kes ini dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, polis memburu seorang lelaki yang disyaki terlibat dengan kes bunuh seorang lelaki warga Myanmar, Kyi Moe Lwin, 32, yang ditemui mati dengan tengkorak kepalanya pecah, dipercayai dipukul dengan tukul besi di Relau, Bayan Lepas, Rabu lalu.

Suspek, yang juga warga Myanmar, dipercayai melarikan diri ke Bukit Mertajam.

Zahruddin berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada salah faham antara suspek dan mangsa.

“Kita telah mengenal pasti identiti suspek menerusi lakaran wajah yang diberikan oleh beberapa orang saksi. Suspek berkulit gelap dan mempunyai ketinggian sederhana,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua kes itu diminta membantu siasatan dengan melaporkan ke balai polis berdekatan atau menghubungi talian 04-2691999

Kedua-dua kes disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan