Selasa, 27 Disember 2011

Tendang ibu mengandung

KUALA TERENGGANU: “Ketika tiba di simpang masuk ke rumah orang tua saya, tiba-tiba kami dikejar tiga lelaki dikenali yang juga merupakan anak tempatan di sini.

“Mereka tanpa bersoal jawab terus menendang perut saya dari tepi dan turut terkena lengan suami yang menyebabkan kami hampir terjatuh. Suami saya gagal mengawal motosikal menyebabkan kami hampir terbabas.” kata seorang ibu muda berusia 19 tahun yang sarat mengandung ketika menceritakan detik cemas diserang sekumpulan samseng kampung yang dikenali satu kejadian di Kampung Titian Baru, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketika dihubungi Sinar Harian, semalam, ibu muda yang mengandung lapan bulan itu berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi itu dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati kumpulan samseng berkenaan terhadap dirinya kerana berkahwin dengan orang luar yang bukan penduduk setempat di kawasan itu.

Dia yang mengandung lapan bulan berkata, ketika kejadian, dia bersama suami, 23, yang berketurunan Siam itu dalam perjalanan pulang dari rumah ibu mentuanya di Kampung Bukit Payong dengan menunggang motosikal.

Melihatkan motosikal dinaiki dia dan suami hampir terbabas, kumpulan samseng kampung itu bertindak melarikan diri dan membiarkan mereka berdua yang masih dalam keadaan trauma serta terkejut.

“Bagaimanapun, ini bukan kejadian pertama yang menimpa kami kerana sebelum ini, selepas lima bulan mendirikan rumahtangga, mereka pernah membelasah suami saya tetapi kemudiannya diselesaikan dengan cara baik oleh bapa saudara.

“Jadi, kami ingatkan peristiwa sebegini tidak akan berlaku lagi dan tidak menyangka mereka masih lagi berdendam dengan sanggup menganiayai kami, suami isteri sedangkan sebelum ini, kami tidak pernah mencari masalah dengan mereka,” katanya.

Susulan kejadian, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, kira-kira jam 2 pagi, hari yang sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian, semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan