KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan dipercayai baru seminggu dilahirkan ditemui di Taman Cheras Prima, Kajang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata bayi tersebut ditemui oleh seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun ketika melalui sebuah taman permainan di taman itu kira-kira pukul 2.30 petang semalam.
Beliau berkata pengadu yang tinggal berhampiran kawasan tempat kejadian telah berjalan kaki melalui taman permainan itu dan terjumpa bayi perempuan dalam gelongsor.
"Bayi itu dibalut dengan sehelai seluar pendek berwarna biru dan tidak menangis serta ada gigitan semut di bahagian badan bayi," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas di sini Isnin.
Ab Rashid berkata pelajar itu kemudiannya membawa bayi itu ke rumahnya sebelum membuat laporan polis hari ini.
"Pemeriksaan doktor mendapati bayi tersebut dipercayai berumur seminggu berpandukan tali pusat yang masih baru dan telah dipotong dan bersimpul serta dalam keadaan sihat," katanya./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan