KUALA LUMPUR: Hanya kerana terlanggar seorang lelaki ketika berselisih dalam tandas sebuah kelab malam di Sentul, dekat sini, dua lelaki parah ditetak di muka dan tangan oleh sekumpulan samseng, kelmarin.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi, mangsa berusia 20-an memohon maaf sebaik terlanggar seorang anggota kumpulan samseng itu dan memberitahu mereka tidak sengaja.
Menurut sumber, bagaimanapun, suspek mengamuk dan memaki-hamun mangsa menyebabkan berlaku kekecohan.
“Pertengkaran mereka didengar majikan mangsa yang datang membantu selain mengugut mahu menghubungi polis.
“Suspek yang masih tidak berpuas hati memanggil rakannya dengan tujuan untuk bergaduh dengan mangsa,” katanya.
Sumber itu berkata, belum sempat lelaki terbabit menghubungi polis, kedua-dua pekerjanya dilibas suspek dengan parang dan pisau.
“Malah, kedua-dua mereka yang terkepung gagal menyelamatkan diri apabila terus ditetak di muka dan tangan.
“Majikan yang menyaksikan pekerjanya dipukul cuba membantu, namun dihalang suspek sebelum datang seorang lagi geng terbabit membawa sepucuk pistol dan mengacukan ke arah mangsa. “Selepas membelasah kedua-dua mangsa, kumpulan terbabit beredar. Majikan yang tidak cedera membawa mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Mangsa yang parah menerima 20 jahitan di muka dan tangan akibat ditetak sebelum majikan mereka membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi sebelum kes itu dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul,” katanya./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan