AYER KEROH: Akibat merogol seorang remaja bawah umur dan mengugut menyebarkan gambar bogel mangsa, seorang pekerja ‘bundle’ dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.
Hukuman dijatuhkan Hakim Ahmad Sazali Omar ke atas Nornira Ali, 26, selepas dia mengaku bersalah terhadap dua tuduhan termasuk pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan pindaan, tertuduh bersama seorang lagi rakannya Ruszarie Aim didakwa bersama-sama melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa sama dan teman lelaki mangsa, berusia 15 tahun iaitu ugutan menyebarkan suatu bencana terhadap nama baik mereka.
Perbuatan itu dilakukan Nornira dan Ruszarie pada 22 Ogos 2010 di sebuah Pusat karaoke, tingkat atas Perhentian Bas Pulau Sebang di dalam daerah Alor Gajah, jam 9.30 hingga 10.30 pagi.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan kedua, Nornira didakwa merogol seorang gadis berusia 15 tahun di alamat dan masa yang sama seperti pertuduhan pertama pada 23 Ogos 2010.
Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Sebelum ini, pada 13 Mac lalu, Ruszarie dijatuhi hukuman denda RM2,000 atas kesalahan bagi Seksyen 506 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan disabitkan ke atasnya.
Nornira yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman kerana telah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.
Dia juga perlu menanggung ibu bapa yang uzur dan anak kecil berusia setahun serta isteri yang tidak bekerja.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana sering berlaku kes melibatkan rogol bawah umur.
Ahmad Sazali kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi pertuduhan pindaan dan lima tahun untuk pertuduhan kedua./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan