Rabu, 23 Februari 2011

Kontraktor palsu curi kabel TM

PUCHONG: Dalam tempoh tidak sampai dua bulan, Telekom Malaysia (TM) kerugian puluhan ribu ringgit berpunca daripada kecurian kabel di beberapa kawasan sekitar Serdang di sini. 

Difahamkan, tahun lalu syarikat sama kerugian ratusan ribu ringgit apabila bukan sahaja kabel di tiang dan dalam bangunan dicuri, namun kabel bawah tanah turut sama dilarikan sekumpulan lelaki dipercayai kumpulan ‘gengster’ yang mahir melakukan kerja-kerja terkutuk itu. 

Pegawai Teknik TM Zon Kinrara MSC, Zaulkefli Ahmad berkata, beliau percaya kumpulan terbabit melakukan kegiatan itu dengan menyamar dan memakai seragam seolah-olah seperti kontraktor TM. 

“Mereka ini dipercayai melakukan kegiatan haram antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi kerana sering menerima aduan daripada pengguna yang terputus talian telefon pada waktu berkenaan. 

“Apa yang dikesalkan mereka ini memecahkan batu dan besi penutup :manhole: sebelum melarikan kabel tembaga berkenaan,” katanya yang memaklumkan puluhan laporan polis pernah dibuat termasuk di Sungai Besi, Seri Serdang, Kajang dan Dengkil. 

Zaulkefli berkata, sebelum ini pekerjanya pernah diugut kumpulan gengster terbabit ketika melakukan kerja baik pulih di tapak. 

Beliau berkata, untuk mengatasi masalah itu, pihaknya kini kerap menjalankan rondaan bersama Bahagian Keselamatan TM untuk mencegah kejadian yang sama daripada berulang. 

Menurutnya, banyak aktiviti berjaya ditumpaskan, namun pihaknya memerlukan kerjasama orang awam untuk sama membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab ini. 

“Sekiranya terlihat individu atau sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan melakukan kerja menarik kabel dari bawah tanah, kami minta jasa baik orang awam supaya segera melaporkannya kepada polis. 

“Untuk memastikan sama ada pekerja adalah kontraktor yang dilantik, mereka mempunyai surat kebenaran yang dicop pegawai kawasan masing-masing dan hanya kontraktor dilantik mempunyai surat kebenaran itu,” katanya. 

Menurutnya lagi, kumpulan gengster terbabit menggunakan lori untuk melakukan kerja-kerja memotong kabel, malah ada di antaranya melarikannya menggunakan motosikal. 

“Antara kawasan panas sering berlaku aktiviti itu termasuk di Desa Serdang, Balakong Jaya, Sungai Besi Indah, Taman Equine, Bukit Belimbing, Taman Universiti Indah, Sungai Besi dan Dengkil. 

“Lebih mengecewakan bukan sahaja kabel dicuri, besi penutup :manhole: jalan turut dilarikan,” katanya kepada Sinar Harian./Sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Komen