MANJUNG: Seorang bayi perempuan berusia 10 hari ditemui di belakang sebuah rumah di Taman Fasa Dua, Seri Manjung dekat sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Shaharudin Abdullah berkata, polis mendapat maklumat berkenaan penemuan bayi itu pada jam 5.30 pagi.
“Bersama bayi yang ditemui terdapat sebuah nota yang sekali gus menjadi petunjuk kepada polis untuk menjalankan siasatan.
“Hasil daripada petunjuk itu, kita membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 24 tahun dan seorang wanita berusia 29 tahun, yang juga pekerja dalam sektor swasta sekitar daerah ini,” katanya pada sidang media di IPD Manjung semalam.
Shaharudin berkata, suspek lelaki adalah penduduk tempatan, manakala wanita dari luar daerah Manjung dan berasal kawasan utara Semenanjung Malaysia.
Hasil soal siasat, menurutnya, kedua-dua suspek mengaku bayi itu adalah anak luar nikah hasil dari perhubungan sulit mereka.
“Daripada pengakuan suspek wanita, tujuan bayi itu diletakkan di belakang rumah berkenaan adalah kerana lelaki berkenaan dikatakan enggan bertanggungjawab.
“Kerana tidak mampu menjaga bayi itu bersendirian, suspek wanita telah meletakkan bayi berkenaan di belakang rumah satu keluarga yang didakwanya ahli keluarga suspek lelaki,” katanya.
Kata beliau, tangkapan telah dibuat pada hari sama maklumat diterima polis dan penemuan bayi itu serta kedua-dua suspek masih berada dalam tahanan hingga hari ini.
Shaharudin berkata, kes itu akan dirujuk kepada Unit Pengajian Penyiasatan dan Pendakwaan terlebih dahulu sebelum pendakwaan dijalankan ke atas kedua-dua mereka.
“Hasil siasatan juga mendapati bayi berkenaan telah dilahirkan pada 25 Januari lalu di sebuah bilik hotel sekitar Manjung. Kita percaya perbuatan ini dilakukan dalam usaha untuk menghindar perkara berkenaan diketahui pihak keluarga masing-masing, juga bagi mengelakkan malu,” katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan