Selasa, 8 Februari 2011

Lagak ahli sukan

RAMPAS...anggota polis menunjukkan senjata tajam yang disorok dalam beg raket badminton.
RAMPAS...anggota polis menunjukkan senjata tajam yang disorok dalam beg raket badminton.

PETALING JAYA: Dengan membawa beg raket badminton yang diisikan dua pisau, tiga perompak yang tampil seperti ahli sukan memperdaya kakitangan sebuah hotel sebelum menyamun.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, ketiga-tiga suspek itu yang berpakaian sukan menyamun kakitangan sebuah hotel murah di Jalan PJU 5/1 Kota Damansara di sini.
TUMPAS...suspek (tengah) ditangkap selepas menyamun.
TUMPAS...suspek (tengah) ditangkap selepas menyamun.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed berkata, dua daripada penjenayah terbabit masuk ke dalam hotel berkenaan manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta yang diletakkan tidak jauh dari situ.

Menurutnya, dua suspek yang masuk ke hotel menghunuskan pisau ke arah kedua-dua kakitangan hotel terbabit dan meminta mangsa menyerahkan barang berharga termasuk wang tunai dan kad pengeluaran wang automatik (ATM). Katanya, selepas menyamun dua kakitangan wanita hotel berkenaan, penjenayah melarikan diri dengan kereta Perodua Kancil dengan nombor pendaftaran WRM 7682.

“Dua kakitangan wanita terbabit menghubungi polis dan tindakan pantas mereka melaporkan kejadian jenayah itu membolehkan polis mengesan kereta suspek sebelum dikejar sehingga ke kawasan Kem Tentera Sungai Buloh.

“Polis menahan seorang suspek, namun dua lagi melarikan diri,” kata Arjunaidi, Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam kereta suspek polis menemui dua pisau, raket badminton, beg raket badminton, seberkas kunci serta wang tunai dan kad ATM dipercayai milik mangsa.

“Kami masih mengesan dua rakan suspek berusia 30-an dan percaya masih berada sekitar Lembah Klang. Jumlah kerugian kedua-dua mangsa dianggarkan bernilai RM1,064. “Suspek yang ditahan itu berusia 27 berasal dari Batu Caves, Gombak di sini. Dia mempunyai dua rekod jenayah samun dan pernah dibuang daerah,” katanya./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan