Sabtu, 12 Februari 2011

Pengawal sekolah disamun

SEREMBAN: Seorang pengawal keselamatan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Kelpin di sini, cedera ringan selepas disamun dua lelaki tidak dikenali yang memecah masuk premis sekolah berkenaan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa, Piong Kim Seng, 55, diikat dan ditinggalkan di kantin sekolah, sejurus perompak terbabit berjaya memecah masuk bilik pengetua.

Kim seng berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan kedua-dua suspek berjaya melarikan diri dengan membawa dua komputer riba serta sejumlah wang tunai yang diambil daripada salah sebuah bilik guru, selain dua telefon bimbit dan wang tunai RM400 miliknya.

Menceritakan detik cemas itu, menurutnya, ketika itu dia berseorangan dan membaca komik di pondok pengawal :keselamatan.

“Namun, saya tersentak apabila melihat seorang lelaki secara tiba-tiba muncul di tingkap kaca pondok sambil mengacu sebilah parang seolah-olah mahu melakukan sesuatu.

“Kerana ketakutan, saya minta mereka tidak mencederakan saya dan sanggup memberikan wang kepadanya. Bagaimanapun, tidak lama kemudian, seorang lagi rakannya turut muncul di pintu selepas dipercayai memanjat pagar depan sekolah,” katanya yang suah berkhidmat empat tahun di sekolah berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua suspek mengikat tangan dan kakinya menggunakan wayar kipas yang dipotong di pondok terbabit.

“Sebelum itu mereka turut bertindak mengetuk kepala saya menggunakan hujung parang dan cangkul yang diambil di sekitar kawasan sekolah.

“Seorang daripada suspek kemudian memecahkan pintu pagar bangunan, sementara rakannya mengawasi saya yang terbaring di atas lantai,” katanya.

Kim Seng berkata, selepas berjaya mengambil barang berharga, mereka membuka ikatan di kaki dan membawa saya pergi ke kantin lalu melarikan diri menuju jalan besar berhampiran dengan menyeberangi sebuah tebing.

“Saya segera membuka ikatan di tangan dan berlari menuju ke rumah jiran berdekatan sekolah untuk meminta bantuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan