Jumaat, 4 Februari 2011

Lelaki berasal dari Sabah dibunuh dengan kejam

KLANG, 3 Feb: Seorang lelaki yang berasal dari Sabah dibunuh dengan kejam setelah dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Lebuh Turi, Pandamaran dekat sini malam tadi.

Mangsa ditemui tanpa baju dengan badannya berlumuran darah di tingkat empat sebuah bangunan kedai.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (Bahagian Risikan), ACP Rosli Mohd Isa berkata mangsa ialah Mohd Munir Mohd Said, 20.

Polis mendapat maklumat bahawa berlaku satu pergaduhan di situ kira-kira pukul 11.10 malam tadi.

“Penelitian di atas jalan (di luar premis) menemui titisan darah sehingga ke tangga di tingkat empat premis kedai itu. Pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki tanpa baju terbaring berlumuran darah akibat kecederaan yang dialami,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Rosli berkata sebilah parang juga dijumpai disandarkan pada tiang di kaki lima premis tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusof mengesahkan mangsa ditemui dengan kesan tikaman di dada dan tetakan di lengan kirinya.

Katanya lima lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk dibedah siasat./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan