Sabtu, 12 Februari 2011

Rompak waktu solat Jumaat

TEMERLOH: Tiga perompak mengambil kesempatan waktu solat Jumaat untuk melakukan rompakan nekad sebuah kedai emas dan melarikan lapan dulang emas dalam tempoh 10 minit di Lurah Semantan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu, ketiga-tiga lelaki itu bertindak menyerbu sebuah daripada tiga kedai emas di kawasan berkenaan sebelum melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM600,000.

Dua daripada mereka memasuki kedai dengan seorang daripadanya mengacukan pistol kepada pemilik kedai dan tiga pekerja yang berada dalam premis berkenaan.

Ketika kejadian, tiada pelanggan berurusan di premis terbabit.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Woon, 30-an berkata, dua perompak yang tidak memakai topeng mengacukan pistol sebelum mengarahkan mereka berdiam diri tanpa sempat mangsa berbuat apa-apa.

"Kedua-dua mengambil dulang emas yang besar dan memasukkan ke dalam guni.

"Semuanya berlaku dengan pantas apabila mereka hanya mengambil masa kurang 10 minit untuk melarikan diri dengan sebuah kereta Gen2 dipandu seorang lagi perompak,” katanya.

Woon berkata, apabila melihat perompak melarikan diri dia bertindak keluar dari premis lalu menjerit meminta pertolongan.

Sinar Harian difahamkan beberapa saksi mendakwa sebelum kejadian mereka melihat kereta berkenaan berlegar-legar di kawasan terbabit sambil menyasarkan sebuah daripada tiga kedai emas itu.

Ketika kejadian, hanya sebuah kedai emas di situ yang mempunyai pengawal keselamatan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan R.Sundralingam berkata, kedai yang dirompak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan cakera rakaman dihantar ke balai untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata kerugian dianggarkan sebanyak RM600,000.

“Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan dan tiada sebarang petunjuk diperoleh setakat ini.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian digesa tampil membantu polis dalam kes ini dengan menghubungi polis di talian 09-296499./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Komen