Ahad, 13 Februari 2011

Tembakan tersasar, pemilik kedai telefon bimbit terselamat

PELABUHAN KLANG, 12 Feb: Seorang pemilik sebuah kedai telefon bimbit terselamat daripada cubaan bunuh di kedainya di Jalan Sungai Aur di sini tengah hari semalam selepas dua das tembakan yang dilepaskan ke arahnya oleh seorang lelaki, tersasar.

Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari semasa Lim Meng Long, 42, sedang melayan pelanggannya apabila dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal berhenti di luar kedai itu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusof berkata, salah seorang suspek kemudian mengeluarkan sepucuk senjata api dan melepaskan dua das tembakan ke arah Lim.

Beliau berkata, tembakan pertama mengenai bahagian atas kedai manakala tembakan kedua pula tersasar ke bahagian bawah premis itu, dan kedua-dua suspek kemudian terus melarikan diri.

Menurutnya polis percaya suspek cuba membunuh Lim dan pihaknya sedang menyiasat motif sebenar kejadian.

Mohamad ketika dihubungi di sini berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan