Ahad, 27 Februari 2011

Polis Tahan Dua Lagi Remaja Bantu Kes Remaja Maut Selepas Pergaduhan

NIBONG TEBAL: Polis menahan dua lagi remaja pada Sabtu untuk membantu siasatan berhubung kes seorang remaja lelaki yang mati selepas terbabit dalam pergaduhan dengan sekumpulan remaja lain di Lima Kongsi di sini semalam. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata kedua-dua lelaki berusia 15 dan 20 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 pagi ini di dua lokasi berasingan di kawasan Lima Kongsi.

Beliau berkata polis menubuhkan sebuah pasukan khas untuk mengesan kumpulan remaja yang terbabit dalam pergaduhan berkenaan selepas berjaya menahan empat rakan mereka semalam.

"Polis telah mengenal pasti beberapa lagi rakan mereka yang berusia antara 21 dan 24 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu dan usaha mengesan sedang dijalankan," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa, U. Yuhanthan, di rumahnya di Lima Kongsi di sini.

Dalam kejadian itu, Yuhanthan, 21, yang cedera parah di dada, perut dan rusuk akibat dipukul serta ditikam, mati ketika dirawat di Hospital Sungai Bakap di sini.

Beberapa jam selepas pergaduhan yang berlaku kira-kira pukul 1.50 pagi itu, polis berjaya menahan empat remaja yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Komen