Sabtu, 12 Februari 2011

Tikam mangsa guna gunting

SEREMBAN: Seorang penarik kereta dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, dekat sini, semalam, selepas didapati bersalah membunuh dengan niat seorang kontraktor dengan menikam mangsa menggunakan gunting, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zainal Mat Noor, 41, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie berikutan kegagalan pembelaan menimbulkan keraguan munasabah.

Dalam penghakimannya, beliau menolak keterangan pembelaan tertuduh bahawa Mohd Zainal mengambil senjata tajam iaitu gunting hanya dengan tujuan cuba menakut-nakutkan Abd Murad Md Yusof, 38, dan dia memberitahu tidak menyedari berlakunya tikaman ke atas mangsa.

Hakim Ahmad Nasfy sebaliknya menerima keterangan dua saksi pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin iaitu anak saudara dan adik angkat mangsa yang melihat bagaimana mangsa ditikam dalam kejadian berkenaan.

“Mahkamah berpuas hati tertuduh adalah orang yang menikam mangsa di bahagian perut dengan menggunakan senjata tajam beberapa kali selepas disaksikan seorang daripada saksi pendakwaan.

“Tertuduh telah datang dengan niat untuk mendatangkan kecederaan dan sengaja menikam mangsa yang sebelum itu tertuduh telah dilihat menuju ke arah bonet belakang sebuah kereta dan mengeluarkan senjata tajam yang boleh mendatangkan kematian,” katanya.

Mohd Zainal dilihat tenang mendengar hukuman yang dikenakan ke atasnya.

Bagaimanapun, salah seorang ahli keluarga tertuduh yang hadir tidak dapat menahan air mata selepas keputusan dibacakan.

Mohd Zainal yang diwakili peguam bela, A Partheeban didakwa membunuh Abd Murad di tepi jalan Medan Selera Jalan Rompin-Bahau, Jempol, antara jam 1.30 hingga 2.10 pagi pada 16 Januari tahun lalu.

Tertuduh dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Berdasarkan fakta kes, Abd Murad iaitu mangsa bersama anak saudaranya telah menuju ke Bahau dan mendapat tahu adik angkat mangsa telah dipukul menerusi panggilan telefon yang diterima.

Adik angkat mangsa memaklumkan, dia telah dipukul individu dikenali sebagai Angah dan kemudian mangsa serta anak saudaranya menuju ke Jalan Bahau-Rompin lalu memberhentikan kereta di sebelah kanan deretan kedai di Jalan Bahau-Rompin.

Mangsa terus menarik Angah keluar daripada sebuah kedai makan terbabit lalu berlaku pergelutan sebelum tertuduh menghampiri antara kedua-dua mereka.

Tertuduh kemudiannya bergelut dengan mangsa dan bertanyakan kepada Angah “kapak ada tak”.

Selepas itu, Mohd Zainal menuju ke arah bonet belakang sebuah kereta dan adik angkat mangsa melihat tindakan tertuduh./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan