PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, memerintahkan seorang wanita dan kakaknya untuk membela diri atas tuduhan mendera dan mencabul pembantu rumah warga Indonesia.
Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam membuat keputusan itu terhadap Wong Choy Kin, 37, dan Wong Choy Lin, 39, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan prima facie untuk dijawab oleh tertuduh.
Beliau juga menetapkan 21 dan 22 Februari ini untuk kedua-dua tertuduh membela diri.
Perbicaraan sebelum ini melibatkanketerangan lapan saksi pendakwaan, termasuk mangsa, Hanif Mu Awanah Muhy yang berasal dari Surabaya.
Kedua-dua tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan kepada Hanif, 18, pada November 2003 dan juga pada pukul 9 malam, 30 September 2004 di sebuah rumah di Taman Bukit Serdang, dekat sini.
Selain itu, mereka juga didakwa bersama-sama telah mencabul mangsa dengan menggunakan biskut pada pukul 9 malam, 30 September 2004.
Mereka juga menghadapi satu lagi pertuduhan mencabul mangsa dengan menggunakan pisang dan botol minuman pada Julai 2004.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Syukor manakala tertuduh diwakili oleh Liow Boon Lee yang menyebut bagi pihak peguam Goh Kim Lian. Pada prosiding Selasa, hanya Choy Kin hadir menghadiri prosiding mahkamah kerana dimaklumkan Choy Lin tidak sihat./mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan