Rabu, 9 Februari 2011

Polis Kangar Buru Dia Suspek Jenayah

PADANG BESAR: Polis sedang memburu dua suspek, seorang daripadanya bekas banduan yang dipercayai terbabit dengan kes jenayah berasingan di daerah ini dan Kaki Bukit minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md Dros berkata, seorang daripada suspek itu terbabit dalam kes serangan ke atas seorang tukang rumah berumur 41 tahun menggunakan parang ketika mangsa sedang bersarapan bersama dua rakannya di Pekan Sayur, Kaki Bukit dekat sini Ahad lalu.

"Suspek melarikan diri dengan menggunakan kereta Viva yang nombor pendaftarannya telah pecah bersama tiga rakan apabila orang ramai yang berada di kawasan itu membantu mangsa," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padang Besar, di sini, Selasa.

Beliau berkata, suspek berusia 30-an, mempunyai ketinggian 155 sentimeter, berkulit gelap, berbadan sasa dan rambut paras bahu.

Che Man berkata, polis juga sedang mengesan seorang bekas banduan, Rohakimi Ibrahim, 36, dari Batu Lapan Setengah, Jalan Kaki Bukit bagi membantu siasatan kes ragut di Kampung Padang Tebuan, Kubang Tiga dan mencuri sebuah motosikal di Kampung Semadong, di sini masing-masing pada Khamis dan Jumaat lepas.

"Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari, gadis itu sedang menunggang motosikal seorang diri untuk pulang ke rumah, dihalang suspek yang berpura-pura bertanyakan kedai menjual getah beku sebelum bertindak meragut rantai emas di leher mangsa," katanya.

Suspek juga dipercayai mencuri sebuah motosikal jenis Suzuki Shogun 125cc yang diletakkan di hadapan sebuah rumah di Kampung Semadong ketika pemiliknya, seorang lelaki berusia 26 tahun sedang bersiap untuk ke masjid untuk solat Jumaat, katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek supaya menghubungi pegawai penyiasat Insp Tajuddin Md Fadilah di talian 017-7191635 atau menghubungi IPD Padang Besar 04-9491481./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan