KUALA LUMPUR: Seorang promoter syarikat minuman ditemui mati dalam keadaan lehernya dijerut dengan wayar elektrik serta tangan dan kakinya terikat di rumah sewanya di Sri Sentosa, Jalan Klang Lama di sini malam Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata Pawera Amat, 42, ditemui kira-kira 12 tengah malam di tingkat dua lot rumah kedai itu oleh rakan serumahnya yang baru pulang dari kerja.
"Keadaan pintu rumah itu tiada kesan pecah dan televisyen dalam rumah terpasang namun tiada sesiapa yang menontonnya. Rakan mangsa kemudian masuk ke bilik dan menemui mangsa, yang hanya berseluar dalam, terbaring dengan leher, kaki dan tangan terikat dengan wayar elektrik," katanya.
Sementara itu, rakan serumah mangsa, Hamzah Humaidi, 46, berkata beliau menghubungi mangsa antara 10.30 dan 11 malam untuk bertanya jika rakannya itu sudah makan tetapi panggilannya tidak dijawab.
"Setiba di rumah, saya cuba memanggil Pawera namun tidak dijawab dan mendapatinya terlentang di atas katil di dalam biliknya. Saya cuba mengejut Pawera yang sudah kebiruan...saya kemudian menghubungi polis dan ambulans," katanya kepada pemberita di Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini Khamis.
Hamzah berkata sebuah telefon bimbit dan seutas jam mangsa dan seutas jam beliau tidak ditemui.
Kakak mangsa, Easah Amat, 55, berkata Pawera yang merupakan seorang duda dengan tiga anak, pernah menceritakan tentang seorang wanita yang mengugutnya.
"Kira-kira minggu lepas semasa kenduri di rumah ibu bapa kami, Pawera pernah bercerita ada seorang wanita menggugutnya dengan mengatakan 'kalau apa-apa jadi kat kau, aku tak bertanggungjawab' namun adik saya tidak mengendahkan ugutan itu," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak mengetahui apa hubungan sebenar Pawera dengan wanita tersebut.
Mengimbas kembali pertemuan terakhirnya dengan adiknya itu, Easah berkata semasa majlis tahlil arwah ibunya minggu lepas, Pawera meminta mereka melihat gambar gambarnya yang terdapat dalam komputer ribanya.
"Pawera berkata 'tengoklah puas-puas gambar ni nanti lepas ni dah tak dapat tengok lagi' namun saya menganggap itu hanya gurauan," katanya./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan