Rabu, 9 Februari 2011

Remaja Ditahan Sembunyikan Motor Curi

KUALA LUMPUR: Seorang penjaga stor berumur 18 tahun ditahan polis semalam kerana disyaki menyembunyikan motosikal curi di sebuah rumah di Jalan Sungai Tua, Batu Caves di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Timbalan Pesuruhjaya Polis Abdul Rahim Abdullah berkata, atas maklumat orang ramai serta beberapa intipan, polis menyerbu rumah suspek pada 10.30 malam.

Katanya, hasil serbuan itu polis menemui empat buah motosikal berlainan jenis dan 12 buah motosikal yang telah dicerai kepada beberapa komponen.

"Kami percaya motosikal yang dicuri ini akan dijual di premis besi buruk dan dengan penemuan ini, kami berjaya menyelesaikan lebih kurang 20 kes di sekitar daerah Gombak," katanya di sini hari ini.

Suspek kini ditahan reman selama empat hari di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan untuk disoal siasat. Abdul Rahim berkata suspek mungkin anggota sebuah kumpulan kecil yang bergiat aktif mencuri motosikal sejak dua tahun kebelakangan ini.

"Kami masih memburu kumpulan ini dan kami meminta kerjasama orang ramai untuk memberi segala maklumat untuk kami bertindak," katanya.

Selain itu, polis meminta abang kepada suspek, Mohd Shahril Shamsudin (No. KP: 870306-10-6051) untuk tampil bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Gombak di talian 03-6126 2222 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-6136 2899./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Komen