KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan terhadap seorang lelaki dikenali sebagai ‘Toyol’ selepas mengaku memecah masuk kediaman seorang guru yang juga jirannya berkeadaan separuh bogel.
Tertuduh, Mohd Suffian Ramli Pandian, 21, dari Kampung Losong Haji Muhammad, di sini, didakwa memecah masuk rumah milik Hanini Hashim, 32, dalam keadaan separuh bogel dan badan berlumuran minyak pada 21 November tahun lalu kira-kira jam 12 tengah malam sebelum disedari mangsa.
Mendengar jeritan mangsa, tertuduh melarikan satu beg tangan mengandungi kamera digital jenis Canon, buku akaun Tabung Haji, kad nikah serta kad pengenalan serta dua cincin emas melalui pintu belakang.
Tertuduh bagaimanapun ditangkap dua hari kemudian di sebuah surau di Kampung Losong Haji Muhammad jam 6.20 pagi ketika tidur sewaktu jemaah menunaikan solat Subuh dan ujian air kencing dijalankan mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
Tertuduh yang memakai baju penjara merah diiringi kakitangan penjara dan didakwa dengan dua tuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dustan Muda di depan Majistret Siti Faraziana Zainuddin.
Tertuduh mengaku bersalah terhadap kedua-dua tuduhan dan Siti Faraziana memerintahkan hukuman penjara 11 bulan bermula tarikh tertuduh ditangkap selepas mendengar pengakuannya yang sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatan itu./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan