Ahad, 13 Februari 2011

Janin ditemui tidak sampai tempoh 24 jam

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Dua janin bayi ditemui di kawasan berasingan di ibu negara hari ini dengan satu daripadanya di kawasan loji rawatan kumbahan di Kepong manakala satu lagi di belakang sebuah klinik swasta di Jalan Ipoh.

Janin pertama dipercayai berusia lima bulan ditemui oleh seorang juruteknik syarikat pembentungan Indah Water pada kira-kira pukul 11.05 pagi ketika sedang melakukan pemeriksaan di sekitar loji berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan ketika dihubungi hari ini berkata hasil siasatan ke atas janin perempuan itu didapati terdapat kecederaan di bahagian belakang kepala manakala kaki kirinya dipercayai patah.

Beliau berkata janin itu dipercayai hanyut dari kawasan sekitar melalui paip pembentungan kira-kira 12 jam yang lalu.

Janin kedua ditemui di kawasan kaki jalan belakang klinik swasta itu kira-kira pukul 2.30 petang oleh seorang penjaja jalanan, Nurmaini Rafiee, 50, setelah dimaklumkan mengenainya oleh seorang kanak-kanak lelaki.

“Bila saya ke tempat kejadian dan melihat benda itu adalah janin bayi dan terus memberitahu kereta peronda polis yang kebetulan melalui kawasan itu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan penemuan janin tersebut.

“Janin tersebut sudah reput dan kita tidak mengetahui sama ada fizikalnya cukup sifat atau tidak,” katanya .

Memetik laporan Bernama, kedua-dua janin tersebut dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318, Kanun Keseksaan kerana membuang bayi./selangorkini

Tiada ulasan:

Catat Komen