Khamis, 3 Februari 2011

Dua penyamun tegar dipenjara

 ALOR SETAR: Dua sahabat yang melakukan kegiatan menyamun menggunakan senjata di stesen minyak tahun lalu dijatuhkan hukuman penjara berasingan selama 66 tahun dan 21 sebatan ke atas kes yang berasingan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Sharidah Awang berkata, bagaimanapun hukuman penjara secara serentak dikenakan kepada Abdullah Mat Daud, 26, dan Mohd Azrul Ashwar, 23, selama 10 tahun dan 21 sebatan.

Menurutnya, hukuman berasingan yang diberikan itu adalah setelah mengambil kira kes samun yang semakin berleluasa.

“Jika kedua-dua tertuduh melakukan satu kesalahan, ia boleh dipertimbangkan tetapi kedua-dua tertuduh melibatkan 10 kes.

“Hukuman setimpal yang diberikan ini adalah mencerminkan kepentingan awam,” katanya sewaktu keputusan dibuat.

Nor Sharidah berkata, hukuman yang dikenakan diharap dapat muhasabah diri kedua-dua tertuduh dan mereka tidak mengulangi kesalahan itu kerana kerana tiada jalan mudah untuk kaya.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dibacakan ke atas kedua-dua tertuduh yang kelihatan tenang dalam kandang, mereka melakukan kesalahan dengan menggunakan modus operandi yang sama iaitu menggunakan pistol dan parang bagi menakutkan mangsa.

Kegiatan yang dilakukan dua sahabat itu bermula sejak Jun hingga Oktober tahun lalu setelah Abdullah ditangkap di kawasan rumahnya di Kampung Panchur, Pokok Sena pada 7 Oktober manakala Mohd Azrul di hadapan Balai Bomba Jalan Raja pada keesokan harinya.

Sewaktu proses rayuan dibuat, Abdullah memohon agar hukuman singkat diberikan kerana dia mempunyai anak yang masih kecil manakala Mohd Azrul juga memohon rayuan yang sama bagi membolehkan penangguhan perkahwinannya dapat dibuat dengan segera.

Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Hashim berkata, hukuman yang diberikan ke atas tertuduh perlulah mengambil kira senjata yang digunakan kerana menimbulkan ketakutan kepada mangsa.

Azlina berkata, sebanyak 39 barang kes iaitu satu parang, dua pistol, dua topi keledar, kasut, tiga motosikal, seluar jean, empat rangkai anak kunci, tiga helai kemeja T, tiga papan nombor pendaftaran dan dokumen.

“Saya mohon agar hukuman yang dikenakan mesti mencerminkan kepentingan orang awam dan mengambil kira pengadu berlainan,” katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan